Sponsor

Iklan Sponsor :

Ibadah Di Bulan Ramadhan Di Ampunkan Dosa dan Ganjaranya Melebihi Pahala Mati Syahid

Iklan Sponsor :





PASTINYA setiap umat Islam mendambakan untuk memperoleh darjat tertinggi di sisi Allah SWT dalam syurga iaitu bergelar syuhada (orang yang mati syahid).

Namun pengajar di Institut al-Maghrib, Amerika Syarikat, Majed Mahmoud berkata, tanpa perlu mengangkat senjata atau berperang untuk memperoleh syahid, terdapat satu amalan yang dinyatakan Rasulullah SAW ganjarannya melebihi darjat tersebut.

“Saya ingin berkongsi satu kisah pada zaman Rasulullah yang sangat baik untuk peringatan kita bersama. Diceritakan, terdapat dua lelaki berjumpa Rasulullah pada hari yang sama untuk memeluk Islam.

“Setelah memeluk Islam, individu pertama sangat rajin beribadah dan melakukan amal kebajikan termasuk berdakwah dan berjihad di jalan Allah sehinggakan dia meninggal dunia dalam keadaan syahid. Manakala individu kedua pula meninggal dunia setahun selepas individu pertama itu dalam keadaan biasa, bukan di medan perang tetapi hanya di tempat tidurnya sahaja.

“Lalu seorang sahabat, Talha bin Ubaidalha bermimpi menyaksikan sendiri dirinya bersama dua individu itu di hadapan pintu syurga. Kemudian muncul satu malaikat dari syurga dan memasukkan individu kedua itu tadi ke dalam syurga terlebih dahulu berbanding individu pertama,” katanya.

Menceritakan lanjut, beliau berkata, apabila terjaga daripada tidur, Talha sangat terkejut lalu menceritakan mimpi tersebut kepada Rasulullah.

“Selepas menceritakan kepada Rasulullah, baginda memberitahu beliau, “Ya Talha, kenapa kamu terkejut?” Talha menjawab: “Ya Rasulullah bagaimana seorang syahid memiliki darjat tinggi di sisi Allah dimasukkan ke dalam syurga kemudian selepas seorang biasa yang meninggal dunia setahun selepasnya?”

“Lalu Rasulullah menjelaskan: “Ya Talha, bukankah orang yang meninggal dunia kemudian itu hidup setahun lebih lama berbanding individu yang syahid tadi?” Talha menjawab, “Ya, benar.” Rasulullah bersabda: “Bukankah dia berpeluang bertemu dengan bulan Ramadan dan beribadah dengan lebih banyak pada bulan tersebut?”

“Talha menjawab: “Benar Rasulullah”. Lalu Rasulullah bersabda lagi: “Oleh kerana dia sempat menemui Ramadan seterusnya maka dia dapat beribadah dengan lebih banyak membuatkan Allah mengangkat darjatnya lebih tinggi seumpama langit dan bumi berbanding orang yang mati syahid,” jelasnya.

Majed berkata, begitulah ganjaran Allah kurniakan kepada hamba-Nya pada Ramadan yang perlu diambil peluang oleh seluruh umat Islam bagi mengutip sebanyak mungkin pahala.

“Dalam kisah ini dinyatakan Talha sangat terkejut, mengapa? Ini kerana terdapat dalam hadis Rasulullah bersabda bahawa: “Bagi orang yang mati syahid ada enam keistimewaan iaitu:

1. Diampunkan dosanya bagi setiap titisan darah yang keluar.

2. Memperlihatkan tempatnya di syurga.

3. Dilindungi daripada azab kubur dan terjamin daripada malapetaka besar.

4. Merasakan kemanisan iman.

5. Dikurniakan bidadari syurga.

6. Diperkenankan untuk memberi syafaat bagi 70 orang kerabatnya.” - Riwayat Tirmizi

“Namun, kerana amalan yang dilakukan pada Ramadan, umat Islam dikurniakan dengan keistimewaan lebih besar sehingga mengatasi keistimewaan orang syahid dalam syurga kelak,” ujarnya.

Sehubungan itu, pendakwah antarabangsa itu menasihatkan, umat Islam supaya meningkatkan amal ibadah pada Ramadan dengan memperbanyakkan memohon keampunan Allah dan melakukan solat malam dengan penuh keikhlasan.

“Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan iktisab, maka akan diampunkan dosa-dosanya terdahulu.” - Riwayat Bukhari

“Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan pada Ramadan dengan melakukan pelbagai amal ibadah seperti membaca al-Quran, memohon ampun dan melakukan qiyamullail. Mudah-mudahan kita bertemu lailatulqadar dan ditempatkan di syurga,” katanya.



Sumber: Utusan

Masukan email anda untuk mendapatkan Resep Terbaru ke email anda GRATIS: