‘Speech delay’ merujuk kepada kelewatan dalam perkembangan atau penggunaan mekanisme yang menghasilkan pertuturan. Ia amat dikhuatiri akan mengganggu tumbesaran anak.
Pertuturan ini merujuk kepada proses membuat bunyi, dengan menggunakan organ dan struktur seperti peparu, peti suara, mulut, lidah dan sebagainya.
Jika anak didapati masih belum dapat menghasilkan bunyi atau sebutan ringkas pada umur 18 bulan ke atas, anda boleh dapatkan nasihat doktor atau pakar terapi pertuturan untuk diagnosis awal.
Dalam masa yang sama, ibu bapa juga boleh lakukan beberapa aktiviti yang mampu membantu dan merangsang anak untuk bertutur. Dengan cara ini diharap dapat mengelakkan daripada berlakunya speech delay.
1. Elak bunyi yang kuat televisyen semasa berinteraksi atau berkomunikasi dengan anak.
Kita mungkin kurang sedar betapa besar impak televisyen pada anak. Jika digunakan secara sederhana, ia tidak mengapa. Namun perlu diberi perhatian apabila digunakan secara berlebihan.
Bunyi televisyen yang kuat semasa berinteraksi dengan anak boleh mengganggu proses pertuturan anak kerana ada kemungkinan anak tidak dengar dengan jelas apa yang anda cakap dan terangkan kepadanya.
Maka, dalam proses melatih anak speech delay untuk bertutur, cuba anda tutup atau perlahankan suara televisyen kerana pendedahan televisyen yang terlalu kerap pada anak boleh mengganggu perkembangannya.
2. Ajari anak bahasa isyarat.
Anak akan rasa kecewa dan mudah marah apabila kemahuan atau keinginannya tidak difahami oleh ibu bapa. Anak akan cuba mengulang sebutan yang dia yakin betul dengan harapan ia difahami oleh orang lain.
Jika berlaku seperti itu, anda perlu berusaha menggalakkan anak bertutur dan menyatakan keinginannya dengan jelas, melalui latihan menggunakan bahasa isyarat sambil sebut patah perkataan.
Penggunaan bahasa isyarat juga mampu bantu rangsang anak untuk bertutur. Anak akan lebih bermotivasi apabila ibu bapa faham apa yang ingin disampaikan. Jadi, ajari anak bahasa isyarat yang mudah seperti menganggukkan kepala apabila dia mahu atau suka sambil sebut perkataan ‘ya’ atau ‘su-ka’.
3. Cetak sendiri ‘fridge magnet’.
Ini satu usaha kreatif yang anda boleh aplikasikan di dapur. Cetak gambar makanan kesukaan anak pada magnet dan lekatkan pada pintu peti sejuk. Pastikan magnet cukup besar untuk elak anak masukkan ke dalam mulut dan mengurangkan risiko tercekik.
Cara membuatnya? Dapatkan kepingan magnet boleh cetak atau tempah sahaja dengan orang yang menyediakan perkhidmatan sebegini. Ia murah dan berkualiti. Jika buat di rumah, lukis atau cetak gambar pada kertas lain lalu digunting dan ditampal pada magnet.
Antara gambar yang boleh digunakan adalah cawan, botol susu, biskut, permainan kesukaan atau buah-buahan. Lekatkan pada pintu peti sejuk dan latih anak untuk menggunakan magnet bergambar itu untuk nyatakan apa yang dia mahu.
4. Luangkan 40 minit untuk bermain dengan anak.
Jangan kata anda tiada masa untuk anak jika anda tidak pernah cuba allocate masa untuk tujuan tersebut. Aktiviti bermain secara santai boleh buat anak jadi gembira. Mainlah apa sahaja yang anak gemari. Semudah berlumba lari atau menangkap bola.
Kepentingannya? Bermain dapat bantu perkembangan anak. Anak dapat mengekspresikan perasaan dan boleh belajar kemahiran baru. Selain itu, ia menunjukkan tanda kasih sayang dan mengambil berat apabila ibu bapa boleh bermain bersama-sama mereka.
5. Gunakan kad imbas yang ringkas.
Saya suka aktiviti ini. Sebut nama objek yang ada pada kad imbas dan latih anak untuk ulangi apa yang disebut. Sambil itu boleh terangkan apa fungsi objek tersebut.
Anda boleh labelkan objek dengan saiz perkataan yang cukup besar bagi anak yang mengalami masalah speech delay ini. Jika tidak mampu membuat sendiri kad imbas, boleh dapatkan di pasaran. Contoh di Lazada.
Pilih kad imbas yang mempunyai ilustrasi yang jelas, berwarna terang dan menarik untuk mempertingkatkan minat anak untuk belajar.
6. Manfaatkan bebola kapas dan straw.
Biarkan bebola kapas bertebaran di lantai atau di bawah meja. Berikan anak straw. Ajar anak untuk hembus melalui straw ke arah bebola kapas tadi supaya ia bergerak.
Kebaikan aktiviti ini? Untuk bantu otot oral anak yang diperlukan untuk bertutur.
7. Straw dan cecair.
Penggunaan straw untuk menyedut minuman boleh dipelbagaikan pada cecair yang lain juga. Contohnya puri buah, smoothie, milk shake atau sup.
Menyedut cecair melalui straw bertujuan membantu menguatkan otot dalam mulut anak, supaya lebih mudah dan bersedia untuk bertutur.
8. Gunakan straw yang menarik dan unik untuk minum.
Straw yang berlingkar, berbentuk unik atau disertai hiasan juga boleh diberi pada anak. Apa bezanya dengan straw lurus biasa?
Dengan straw yang unik contohnya yang berlingkar, anak perlu berusaha lebih untuk menyedut dan menghisap. Jadi secara tidak langsung, otot dalam mulutnya akan digunakan secara maksimum justeru memudahkannya untuk bertutur berbanding straw yang biasa.
9. Letakkan barang di tempat yang anak sukar capai.
Tujuannya? Supaya anak bercakap dan berkomunikasi dengan kita. Apabila anak mahu sesuatu yang tak mampu dicapai, dia perlu beritahu orang untuk membantunya. Atau dia perlu tunjukkan pada magnet yang telah kita hasilkan seperti dalam tip ketiga di atas.
Simpan barangnya di dalam laci berkunci, bilik tertutup atau di tempat yang tinggi. Anak akan cenderung untuk bertutur apabila dia mahukan sesuatu.
10. Puji usaha anak.
Puji walaupun usahanya kecil. Puji-pujian boleh meningkatkan motivasi anak dan menambah keyakinan diri. Raikan dan puji anak bila berjaya ucapkan sesuatu perkataan. Puji bila anak mampu berkomunikasi dalam bahasa yang kita faham, hargai apabila anak faham arahan kita.
Jangan sesekali gelakkan anak apabila dia tersalah sebut. Itu boleh mematikan semangat anak dan berasa diri diperkecilkan. Ya, anak usia masih muda tapi tetap ada perasaan.
Semoga usaha-usaha ini dapat membantu anak cepat bertutur. Dan diharap anda alert dengan perkembangan anak meskipun sibuk bekerja.
Sumber: TheVocket