Mendisiplinkan anak bukan sahaja memerlukan kasih sayang dan kesabaran, tetapi ibu bapa sendiri perlu jelas akan matlamatnya.
Cara yang terbaik ialah dengan menetapkan peraturan-peraturan yang difikirkan bersesuaian dan boleh dipatuhi oleh anak-anak tanpa memerlukan banyak campur tangan daripada ibu bapa.
Ibu dan bapa perlu berbincang dan memutuskan peraturan yang bersesuaian dan memahami rasional di sebaliknya. Dalam merangka peraturan untuk mendisiplinkan anak-anak, ibu bapa perlu menilai kesediaan anak-anak ini untuk memahami dan mematuhinya.
Menentukan Keutamaan
Antara peraturan pertama yang perlu anda tetapkan dalam tahun-tahun awal apabila anak-anak masih belum matang untuk memahami akibat daripada tindakan mereka ialah peraturan-peraturan yang memastikan keselamatan mereka.Perasaan ingin tahu dalam diri anak-anak membuatkan mereka mudah tertarik dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka tanpa sedar akan bahayanya. Di sinilah peraturan-peraturan tersebut memainkan peranannya.
Semakin matang usia anak, peraturan-peraturan ini mungkin bertambah dan perlu dipelbagaikan tetapi tidaklah terlalu banyak sehingga mengelirukan anak-anak.
Anda sebagai ibu bapa sepatutnya meletakkan perkara yang menjadi keutamaan dan mengambil kira keperluan anda dan anak-anak dalam menetapkan peraturan untuk mereka ikuti.
Proses mendisiplinkan anak memerlukan masa, kesabaran dan kesanggupan untuk mendidik mereka tentang peraturan yang telah ditetapkan, bukanlah dengan cara memaksa.
Anda sepatutnya boleh menerangkan kepada mereka sekerap yang mungkin untuk memastikan mereka menerima apa yang anda cuba sampaikan. Inilah juga konsep pembelajaran yang disarankan dalam Islam iaitu pendedahan yang berulangkali dan berterusan.
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia kerana (tidak) solat pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan mereka di tempat tidur.†(Hadis riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)
Ibadah solat memerlukan disiplin dalam menunaikannya. Melalui hadis ini Rasulullah menyarankan ibu bapa untuk mengajak anak-anak mereka bersolat sejak dari usia tujuh tahun dan hanya boleh menghukum anak-anak itu jika tidak mahu menunaikan solat pada usia sepuluh tahun.
Ini menunjukkan untuk sesuatu perkara itu menjadi kelaziman kepada anak-anak memerlukan pelatihan yang panjang (selama tiga tahun!) dan peringatan berulang kali.
Bayangkan selama tiga tahun itu, untuk lima waktu solat sehari, ibu bapa telah mengingatkan anak-anak sebanyak 5475 kali sebelum boleh menghukum mereka!
Sedangkan solat, urusan ibadah yang paling penting ini, memerlukan pelatihan yang panjang, apatah lagi perkara-perkara lain.
Prinsip-Prinsip Disiplin
Setelah anda sebagai ibu bapa menetapkan set peraturan yang adil dan realistik untuk dipatuhi oleh anak-anak, cuba amalkan prinsip-prinsip ini dalam mengaplikasikan peraturan tersebut:1. Disiplin yang membina.
Gunakan perkataan ringkas dan suara yang autoritatif tetapi bukan mengarah. Sila gunakan lebih banyak perkataan yang bernada positif seperti “Boleh tolong ibu/ayah….†dengan lebih kerap berbanding perkataan yang bernada negatif seperti “Jangan buat ini!â€.
Pastikan anda fleksibel. Contohnya sekiranya anda melihat anak kepenatan, anda mungkin tidak perlu menyuruh mereka mengemaskan permainan mereka sehinggalah mereka mendapat rehat yang secukupnya atau tidur sebentar.
2. Disiplin yang konsisten.
Pastikan anda sentiasa konsisten dalam peraturan yang anda tetapkan. ‘Tidak’ untuk hari ini bermakna ‘tidak’ juga untuk esok dan seterusnya. Anak-anak akan keliru sekiranya anda tidak konsisten.
Contohnya hari ini dia dihukum kerana memukul adiknya tetapi hari sebelumnya dia tidak menerima apa-apa tindakan atas kesalahan yang sama.
3. Beritahu mereka kenapa mereka perlu mematuhi peraturan.
Jangan sesekali menggunakan ayat “Sebab ibu/ayah yang suruh…â€. Terangkan rasional disebalik keputusan atau peraturan anda. Pastikan penerangan anda ringkas.
Dengan menerangkan sebab-sebab di sebalik tindakan anda, anak-anak bukan hanya akan mematuhinya tetapi akan menyerap peraturan tersebut dan membentuk prinsip dalam dirinya sendiri.
4. Jangan memalukan anak.
Disiplin bukan untuk merendahkan atau memalukan anak. Biasakan diri untuk melayan anak dengan lemah lembut dan jika perlu, disiplinkan mereka semasa anda bersendirian bersama mereka dan bukan dihadapan ahli keluarga atau rakannya yang lain.
Letakkan diri anda dalam diri mereka dan bayangkan perasaan anda sekiranya dimalukan dikhalayak ramai. Hormati perasaan mereka walaupun mereka masih kecil.
5. Disiplin dengan jujur.
Cukup dengan menerangkan rasional di sebalik peraturan yang anda tetapkan untuk dipatuhi oleh anak.
Tidak perlu cuba untuk membuatkan mereka rasa bersalah supaya anda boleh menggunakan perasaan bersalahnya itu apabila dia melakukan kesalahan lagi pada masa akan datang.
Seperti orang dewasa, kanak-kanak tidak suka dimanipulasi dan itu hanya akan menyebabkan mereka marah dan berdendam.
6. Disiplin tanpa perbandingan.
Perbuatan membandingkan anak dengan adik beradiknya yang lain langsung tidak mendatangkan manfaat. Dia boleh belajar dengan mencontohi orang lain tetapi tidak di bawah tekanan ini.
Perbandingan hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana anak-anak akan semakin memberontak.
7. Disiplin pada masa tersebut.
Jangan lewatkan hukuman akibat daripada salah laku anak. Amaran seperti “Tunggulah sampai ayah balik nanti!†bukanlah cara yang efektif untuk berhadapan dengan masalah tingkah laku anak.
Kesan daripada pendisiplinan akan berkurangan apabila hukuman diberikan jauh lewat daripada salah laku tersebut.
8. Pantau kesan pendisiplinan anda.
Apa sahaja teknik yang anda pilih untuk diaplikasikan pada anak-anak, sentiasalah pantau reaksinya untuk memastikan cara anda pilih membawa kesan yang diingini. Jika tidak, ubah suai tindakan anda dan cuba teknik baru yang mungkin lebih berkesan.
9. Jangan memanjangkan sesuatu isu.
Kanak-kanak sebenarnya masih mudah dibentuk. Mereka boleh menyerap proses pembelajaran dan disiplin ini tanpa meninggalkan kesan jangka panjang pada perasaan mereka.
Ibu bapa sebenarnya yang biasanya selalu terkesan dengan sesuatu insiden. Apabila anda telah mengambil tindakan, biarkan perkara itu berlalu dan lupakan.
10. Berikan pujian dan kata semangat.
Tiada apa yang lebih menggembirakan anak-anak melainkan pujian dan pelukan anda. Anak anda akan lebih mudah untuk menunjukkan yang mereka mampu mematuhi peraturan sekiranya itu perkara yang boleh menggembirakan ibu dan bapanya.
Maka, berikan pujian dan kata semangat apabila anak anda memberi tindak balas positif.
Kesimpulan
Melakukan kesilapan adalah satu proses pembelajaran untuk anak-anak. Jangan menghukum anak-anak atas kesilapannya pada usia yang muda ini.Sebaliknya, ibu bapa boleh mengalihkan perhatian anak-anak kepada perkara yang lebih positif atau sekiranya perlu mendenda, pilih denda yang bersesuaian dengan umur mereka.
Antara denda yang bersesuaian untuk kanak-kanak ialah dengan tidak menghiraukan tingkahlaku yang tidak diingini yang mereka lakukan untuk sekadar menarik perhatian anda.
Anda juga mungkin boleh menarik balik keistimewaan atau kemudahan yang telah diberikan seperti menonton televisyen, bermain komputer dan sebagainya yang difikirkan berkesan.
Tetapi ganjaran positif sebenarnya lebih memainkan peranan berbanding tindakan menghukum yang negatif. Seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 263;
“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi tindakan yang menyakitiâ€
Biasakan diri anda untuk memberikan ganjaran positif dalam bentuk pujian, senyuman, pelukan, hadiah yang murah dan mudah kepada anak-anak.
Ganjaran positif seperti ini akan lebih meningkatkan motivasi anak untuk melakukan tingkah laku yang baik berulang kali.
Sebaliknya, hukuman yang keras seperti memukul hanya akan menyebabkan anak-anak menyimpan perasaan marah, dendam, kecewa, takut dan seterusnya hanya akan merosakkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.
Semoga Allah pandu kita dalam mendidik anak-anak pewaris dakwah ini. Wallahualam.
Rujukan buku:
1. Teaching Good Behaviour (Time Life Books)
2. Modul Belaian Fitrah (oleh Puan Azlina Roszy Mohamad Ghaffar)